Monday, June 6, 2011

Sebaik-baik hati yang bersih dan lunak

Hati yang bersih dari batil dan jahat

Ketahuilah, wahai saudara-saudara sekalian, moga-moga Allah membimbing kamu, bahawasanya sebaik-baik hati yang dikasihi oleh Allah Ta'ala, ialah hati yang suci murni dari segala macam kebatilan dan keraguan, bersih dari aneka rupa kejahatan, hati yang sentiasa tunduk yang hak dan petunjuk yang diliputi oleh kebajikan dan kebaikan.

Dalam sebuah Hadis tersebut:

1) Hati yang tidak berselaput (dengan syak wasangka), padanya terdapat sebuah lampu yang menerangi. Itulah hati seorang Mukmin.

2) Hati yang hitam tidak menentu tempatnya. Itulah hati seorang kafir.

3) Hati yang terbelenggu di atas kulitnya. Itu hati seorang munafiq.

4) Hati yang mendatar, padanya iman dan nifaq yang meliputinya, seperti sebatang sayuran yang disirami oleh air tawar, dan perumpamaan nifaq(iqrar dengan lidah tetapi tidak iktikad dalam hati) yang ada padanya juga seperti setumpuk kudis yang diselaputi oleh nanah dan darah busuk. Yang mana di antara keduanya yang berkuasa, kesitulah hati akan tertarik.

Menurut pendapatku, yang nyatanya hati terakhir ini adalah sifat bagi hati kaum yang bercampur-aduk amalannya, dari umum kaum Muslimun sehingga kecuainnya melebihi kesempurnaan.



Dalam sebuah hadis lain: "Bahawasanya iman itu mula muncul di hati sebagai sinaran putih, lalu ia membesar sehingga seluruh hati itu menjadi putih. Sedang nifaq pula, mula muncul di hati seperti setitik-titik hitam, lalu merebak sehingga seluruh hati itu menjadi hitam."

Mudah-mudahan Allah Ta'ala pelihara kita sekalian daripada bahaya nifaq, serta diakhiri hayat kita beserta Muslimin di dalam Agama Islam, amin.

Sesungguhnya iman itu akan bertambah dengan sentiasa mengerjakan dan membanyakkan amalan-amalan yang saleh dengan sepenuh ikhlas kepada Allah Ta'ala. Manakala nifaq pula akan bertambah dengan bertambahnya amalan-amalan yang jahat, seperti meninggalakan perkara-perkara yang wajib dan melakukan perkara-perkara yang ditegahkan oleh agama.



Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam. Kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, mak titik hitam itu akan terus merebak, sehingga muka hatinya menjadi hitam."

Hadis ini sesuai dengan firman Allah Ta'ala di dalam Al-Quran: "Bahkan telah termetrai dimuka hati mereka apa yang mereka kerjakan." (al-Mutahffifun:14)

Memanglah, tiada sesuatu yang bencana dan mudharatnya lebih berat ke atas manusia di dunia dan akhirat daripada dosa. Sebab seseorang manusia tidak akan disentuh kecelakaan atau ditimpa kesusahan, melainkan tersebab oleh dosanya sendiri.



Firman Allah Ta'ala: "Dan tiada akan menimpa kamu sesuatu kecelakaan melainkan disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri." (as-Syura:30)

Oleh itu, maka hendaklah setiap Mukmin itu berjaga-jaga supaya tiada melakukan dosa, malah sentiasa menjauhkan diri daripadanya. Andainya telah terlanjur melakukan sesuatu dosa, maka hendaklah menyegerakan taubat kepada Allah Ta'ala. Sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa menerima taubat hamba-hambanya serta mangampunkan segala dosa mereka, sedang Dia Maha Mengetahui apa yang kita lakukan.

Firman Allah Ta'ala: "Barangsiapa yang tiada bertaubat, maka mereka itu adalah orang-orang yang teraniaya." (al-Hujarat:11)

Maksudnya, mereka telah menganiaya diri sendiri dengan mendedahkannya kepada kemurkaan Allah Ta'ala, disebabkan mereka telah tecebur ke dalam maksiat, malah terus melakukan maksiat itu tanpa bertaubat. Padahal Allah Ta'ala telah menganjurkan kepada kita untuk bertaubat serta berjanji akan menerima taubat mereka.

Firman Allah Ta'ala mensifatkan ZatNya sebagai Maha Penerima taubat dan Maha Pengampun: "(Tuhan) Pengampun dosa, Penerima taubat, sangat keras siksaNya, dan amat besar kurniaNya, tiada Tuhan melainkan Allah, kepadaNya kesudahan segala tujuan." (Al-Mu'min:3)

Cubalah renungkan ayat ini dan perhatikan maksud yang terkandung di dalamnya dari pengertian yang mulia dan rahsia yang amat berkesan, yang bisa membangkitkan perasaan takut dan harapan serta gemar dan gerun dan sebagainya.

FirmanNya yang lain: "Dan tiadalah yang mengambil peringatan, melainkan orang yang kembali (ke pangkal jalan). Maka serulah Tuhan dengam penuh tulus-ikhlas, beragama kepadaNya." (al-Mu'min: 13-14)



Sebaik-baik hati yang bersih dan lunak



Saiyidina Ali berkata: "Adapun Allah s.w.t di muka bumi ini bejana-bejana; iaitulah hati manusia. Sebaik-baik hati ialah yang bersih, tegas dan lunak. Kemudian beliau menjelaskan pula; Maksudnya, bersih dalam keyakinan, tegas dalam urusan agama, dan lunak dalam pergaulan dangan kaum Muslimin."

Yang dimaksudnya dengan keyakinan, ialah keteguhan dan penguasaan iman di hati, sehingga menimbulkan ketenangan, sebagaimana yang dipohonkan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah Ta'ala sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kita oleh Al-Quran: Allah berkata kepada Nabi ibrahim: Apakah engkau tidak percaya? Jawab Nabi Ibrahim: "Bahkan, agar hatiku menjadi tenang." (Al-Baqarah:260)

Kini nyatalah, bahawasanya keyakinan itu puncak keimanan dan kesudahannya.

Dalam sebuah Hadis tersebut: "Keyakinan itu adalah keseluruhan iman."

Lantaran itu, tiada sesuatu yang diturunkan oleh Allah Ta'ala dari langit yang sifatnya lebih mulia dan lebih berharga daripada keyakinan. Memadailah jika keyakinan itu saja menjadi hartabenda manusia.



Sabda Rasulullah s.a.w: "Pohonkanlah keyakinan dan keselamatan dari Allah Ta'ala, kerana tiada sesuatu kurnia yang lebih utama sesudah keyakinan daripada keselamatan."

Yang dimaksudnya dengan tegas dalam agama, ialah berpegang-teguh dengannya serta bersedia membelanya, berani berkat benar walaupun pahit, dan tiada gentar orang untuk mempertahankan yang hak. Dengan sifat inilah, Allah Ta'ala telah memuji pecinta-pecintaNya dalam Al-Quran: "Mereka berjihad (membela) di jalan Allah dan mereka tiada gentar celaan orang yang suka mencela." (al-Maidah:54)

Seterusnya hendaklah anda membaca ayat-ayat yang sebelumnya juga.



Rasulullah s.a.w pernah mensifatkan Saiyidina Umar Ibnul-Khattab dengan sifat yang sama dalam sebuah sabdanya: "Orang yang amat teguh dalam menjalankan perintah Allah ialah Umar. Semua kata-katanya benar, lantaran itu ia tidak punya rakan di antara orang ramai."

Benarlah Saiyidina Umar adalah orang yang amat tegas di antara kaum Muslimin dalam menjalankan perintah Allah s.w.t., dan berpegang teguh dalam menguruskan semua urusan agama, terhadap dirinya sendiri mahupun orang lain. Beliau dijadikan contoh dan tauladan dalam keadilan, dan dalam memerintah mengejarkan kebajikan dan mencegah melakukan kejahatan. Beliau sentiasa berdiri atas yang hak dan benar terhadap rakan dan lawan. Moga-moga Allah Ta'ala redha terhadapnya dan redha terhadapnya dan redha sama terhadap para sahabat Rasulullah s.a.w umumnya.



Adapun berhati lunak dalam pergaulan dengan kaum Muslimin; iaitu melengkapkan diri dengan siat belas-kasihan, cinta dan sayang terhadap sesama Muslimin, kerana yang demikian itu adalah semulia-mulia akhlak dan setinggi-tinggi budi luhur.

Dengan sifat itulah Allah s.w.t telah memuji-muji Rasulullah s.a.w di dalam firmanNya: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari segolongan kamu, yang mengambil berat terhadap penderitaan kamu, penuh keinginan terhadap (keselamatan) kamu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman." (at-Taubah:128)

Sabda Rasulullah s.a.w: "Orang-orang yang mengasihi (orang lain) akan dikasihi Tuhan Pemurah. Sesiapa yang tidak mengasihi (orang lain) tidak akan dikasihi Tuhan."



Sabdanya lagi: "Sesungguhnya orang-orang yang terutama dari umatku tidak akan masuk syurga kerana banyak solat atau banyak puasa. Akan tetapi (mereka akan masuk syurga) kerana bersih hati, murah hati dan berbelas-kasihan terhadap setiap Muslim."

Maksud Hadis ini tidaklah menunjukkan bahawa para Mukmin itu kurang mengerjakan ibadat seperti solat dan puasa. Malah sebaliknya, mereka sentiasa memperbanyakkan ibadat solat dan puasa serta melakukan lelain amalan yang saleh. Akan tetapi sifat-sifat mulia yang disifatkan Nabi kepada mereka itu telah lebih dahulu mendekatkan diri mereka kepada Allah Ta'ala, yang kerananya mereka memperoleh kelebihan dan keutamaan di sisiNya. Lantaran kelebihan dan keutamaan sifat-sifat ini dipandang lebih mulia dari lain-lainnya dari amalan-amalan yang saleh, sebab sifat-sifat itu dari amalan hati dan rahsia kebatinan, maka hendaklah anda fahamkan baik-baik.



Peringatan: Hati itu baginya berhadap dan membelakangkan daripada amal pada yang dikehendaki dengan maksud faedah berfungsinya fitrah asal hati/jiwa/qalbu/ruh ialah hati itu akan cenderung untuk melakukan kebaikan dan taat di samping akan menjauhkan perkara yang ditegah dan maksiat. Walaupun ianya melakukan kesalahan dan dosa, sesungguhnya hati yang asal ini tidak akan dapat berbohong dengan membenarkan perbuatan si hamba. Akan terkesan padanya rasa bersalah dan berdosa kerana asal atau fitrah hati tidak pernah dan selama-lamanya tidak akan membenarkan sesuatu yang salah. Perhatikanlah diri anda bila melakukan sesuatu yang salah. Jika tidak timbul rasa berdosa atau bersalah, maka ketahuilah hati anda itu adalah hati yang mati........



Saudara!, Janganlah kau putus asa dari rahmat Allah Azza Wajalla, akibat melakukan maksiat. Tetapi, basuhlah pakaian agamamu dengan air taubat secara bersambungan dan ikhlas. Berilah pakaian agamamu itu minyak makrifat. Waspadalah terhadap kedudukan yang kau sandang ini. Sebab, bila saja kau berpaling, di sekitarmu pasti ada haiwan buas yang siap menyerbumu. Di mana saja kau berada, di situlah datang berbagai fitnah di sekitarmu. Kembalilah kepada Allah Azza Wajalla dengan Qalbumu.

Janganlah kau makan dengan tabiatmu, syahwat dan kesenanganmu. Janganlah kau makan, kecuali ada dua saksi adil yang mengawasimu. Yakni kitab Allah dan Sunnah Nabi.

Kemudian, carilah dua saksi lain, iaitu Qalbumu dan Perbuatan Allah Azza Wajalla. Jika Al-Kitab, As Sunnah dan Qalbumu telah mengizin, maka lihatlah saksi yang keempat. Iaitu Fi’lullah (perbuatan Allah Azza Wajalla). Janganlah kau seperti pencari kayu bakar di waktu malam. Ia mencari kayu ke sana ke mari, tapi tidak mengetahui apa yang jatuh ditangannya.



Kitab "an-Nashaaih as-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah"

(Nasihat Agama Dan Wasiat Iman)

oleh

Imam Habib Abdullah Haddad Related Posts : Tasawuf

No comments:

Post a Comment