Seorang guru agama yang terlantar di atas katil sedang diziarahi oleh anak muridnya. Anak muridnya kelihatan begitu sedih dengan keadaan guru mereka yang semakin uzur. Hampir sebulan guru agama itu tidak dapat mengajar di surau berdekatan sekolah agama itu lantaran kesakitan yang menimpanya.
Sebelum ini dia begitu aktif berdakwah dan berusaha membangunkan sekolah agama tersebut. Beliau bukan sahaja aktif dalam menyampaikan ilmu tetapi juga merupakan pendokong kuat kepada sebuah pertubuhan yang berjuang untuk menegakkan agama Islam.
Kini dia terlantar di atas katil dan doktor mengesahkan dia mengidap penyakit jantung. Meskipun beliau tidak mampu bergerak banyak, namun setiap kali ada orang yang datang menziarahi beliau pasti ada sahaja nasihat yang dia berikan. Dakwahnya masih tetap berjalan biarpun di atas katilnya.
Sepanjang perbualan dengan anak muridnya, dia sentiasa tersenyum seolah-olah tiada sebarang kesakitan pada dirinya. Namun, pada suatu ketika dahinya berkerut secara tiba-tiba.
"Kenapa Tok Guru, sakitkah?" seorang murid bertanya kepada gurunya.
Guru itu menberi jawapan, "Bukan sakit. Tetapi ana teringat kisah Saidina Uthman R.A.yang pelik"
"Apa yang peliknya?" tanya anak muridnya lagi.
" Saidina Uthman R.A. merupakan seorang sahabat yang hebat. Beliau dikasihi Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dia juga dikenali dengan kekayaan yang dimilikinya. Namun, kemanisan hidupnya bukan kerana kekayaan yang dimilikinya." ujar guru agama itu.
"Habis, Tok Guru apa yang peliknya." murid yang lain pula mencelah.
"Saidina Uthman R.A. pernah berkata dia mencapai tahap kemanisan dalam ibadah dengan empat perkara iaitu apabila dia menunaikan apa yang difardukan Allah SWT, meninggalkan segala yang diharamkan Allah SWT., ketika menyeru kepada kebaikan dan ketika mencegah kemungkaran dan menjaga diri daripada membuat perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT."jelas guru agama tersebut.
Fikirkan
Allah SWT sentiasa menjaga hamba-Nya seandainya kita menjaga agama-Nya. Penjaga agama boleh diertikan sebagai orang yang mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Apabila kita mampu memperoleh penjagaan daripada Allah SWT, maka kita bakal merasai nikmat yang tidak terperi.
Hal inilah yang dirasai oleh Saidina Uthman R.A. yang merasai kenikmatan ketika melakukan ketaatan kepada Allah SWT.
Moga-moga kita dapat beristiqamah dalam mentaati titah perintah Allah SWT yang Maha Kuasa.
No comments:
Post a Comment