Friday, April 6, 2012

Perniagaan Yang Besar

Assalamualaikum...

Halim merupakan seorang ahli perniagaan yang kaya raya. Dia memiliki beberapa buah kolam ikan yang digunakan untuk menternak ikan kelisa. Ikan tersebut di eksport ke luar negara. Selain itu, dia juga menjalankan perusahaan memproses padi menjadi beras. Pendapatnya mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan.


Dia selalu ke luar negeri kerana menjalankan perniagaannya. Anak-anaknya juga jarang sekali dapat bersua muka. Ketika cuti, dia hanya berada di rumah sekejap sahaja dan akan keluar bermain golf dengan rakan-rakan perniagaanya.

Oleh kerana telalu sibuk dengan pekerjaan, dia jarang sekali dapat berjemaah di masjid dan surau. Apatah lagi menghadiri kuliah yang di adakan di masjid yang berdekatan dengan rumahnya.

Pernah juga dia ditegur oleh isterinya agar meluangkan sedikit masa untuk bersama dengan anak-anaknya dan juga pergi berjemaah di masjid ataupun surau. Namun, nasihat tesebut masuk ke telinga kanan dan keluar melalui telinga kiri.

Biarpun perusahaan yang dijalankannya sudah bertambah maju, namun dia sentiasa mencari jalan bagiamana hendak menambahkan perniagaanya.

Pada suatu hari, dia berbual-bual dengan seorang rakan perniagaanya yang memiliki kekayaan yang lebih besar berbandingnya. Rakannya itu merupakan seorang kontraktor perumahan. Pelbagai projek yang telah berjaya dia jalankan. Halim bertanya kepada rakannya itu bagaimana dia mendapatkan projek yang begitu banyak.

Namun begitu, rakannya hanya menceritakan sedikit sahaja. Hal ini membuatkan Halim kurang berpuas hati. Dia menanam niat untuk mendapatkan projek seperti rakannya itu.

Pelbagai usaha dilakukannya, akhir sekali dia berjaya juga mengetahui projek-projek yang dilakukan oleh rakannya itu. Dia begitu gembira. Dalam diam dia cuba melakukan sesuatu untuk mendapatkan projek yang dijalankan oleh rakannya.

Pada peringkat awal dia cuba melakukan sabotaj terhadap projek rakannya. Ini bertujuan untuk menjatuhkan imej dan prestasi rakannya. Kemungkinan besar, pelanggan kepada rakannya akan mula menolak projek rakannya.

Rancangan keduanya adalah untuk mendapatkan projek yang dipohon oleh rakannya. Malang tidak berbau belum sempat rancangan keduanya terlaksana, dia telah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya.

Fikirkan

Secara ringkasnya, tamak itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu tamak kepada Allah SWT dan tamak kepada selain Allah SWT.

Ibn Ataillah As Sakandari menyatakan tentang keselamatan diri dalam Islam adalah "tiada perasaan tamak terhadap barangan yang ada pada orang lain".

Kata beliau lagi "Barangsiapa yang tamak kepada sesuatu dia akan menjadi hina". Ini kerana, apabila kita tamak akan sesuatu, maka kita akan menjadi hamba kepada benda itu.

Sedangkan jika kita tamak kepada Allah SWT, maka kita akan  menjadi hamba Allah SWT.

Sifat tamak dibenci Allah SWT dan Rasulullah. Sifat ini dihina oleh makhlukNya. Sifat ini menghilangkan maruah diri kita di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kita perlu berusaha menjauhkan diri daripada sifat tamak kepada benda ini.

Wallahualam.

1 comment: