Friday, November 23, 2012

Letak Jari Di Atas Dagu

Dalam suatu majlis ilmu yang di adakan di sebuah masjid . Seorang hadirin bertanya soalan kepada ustaz yang mengajar.



"Assalamualaikum warahmatullah." 

"Waalaikumussalam warahmatullahiwabarakatuh."

"Ustaz, saya ingin bertanya soalan kepada ustaz."

"Silakan."

"Ustaz, saya mempunyai seorang anak lelaki yang berumur 7 tahun. Dia seorang yang agak nakal. Macam-macam cara saya buat. Saya nasihat, saya marah, saya hantar dia mengaji dan berbagai-bagai cara lagi yang saya buat. Bukan itu sahaja, saya telah menghantar ke bengkel pelajar cemerlang. Namun, semua usaha saya tidak berkesan." tanya seorang lelaki.

"Sebelum menjawab soalan tuan itu. Bolehkah tuan-tuan dan puan-puan yang ada dalam majlis ini ikut apa yang saya akan katakan." ujar ustaz.

"Begini, sekarang ini cuba tengok jari saya. Semua hadirin tolong buat macam ini " jelas ustaz itu  sambil menunjukkan jari telunjuknya yang diletakkan di atas hidungnya sendiri.

Semua hadiri melakukan perkara yang sama seperti yang ditunjukkan oleh ustaz tersebut.

"Baiklah, semua sudah bersediakan? Sekarang ini saya hendak, tuan-tuan dan puan-puan alihkan jari tuan-tuan dan puan-puan...di atas dagu."

"Atas dagu!" ustaz tersebut mengulangi perkataan yang sama sambil meletakkan jari telunjuknya di atas dahi.

"Jangan lepas jari tuan-tuan dan puan-puan. Sekarang cuba tuan-tuan dan puan-puan perhatikan di mana jari  telunjuk tuan-tuan dan puan-puan?"

Ustaz yang berada di hadapan masjid di atas kerusi dapat melihat dengan jelas, sebahagian besar jemaah masjid yang hadir meletakkan jari telunjuk mereka di atas dahi.

"Berapa ramai yang meletakkan jari mereka di atas dahi. Bukankah saya menyuruh tuan-tuan dan puan-puan meletakkan jari di atas dagu?"

Para hadirin tersenyum dan ketawa kecil mengenangkan telatah mereka sendiri yang tersilap meletakkan jari di tempat yang sepatutnya.

"Di sini bolehlah kita simpulkan bahawa manusia mudah mencontohi apa yang kita buat berbanding dengan apa yang kita cakap. Oleh itu, kalau hendak mendidik anak tidak cukup sekadar bercakap. Kita perlu tunjukkan contoh yang baik kepada mereka kerana cara ini lebih berkesan." jelas ustaz itu.

Fikirkan

Sekiranya kita imbau sejarah di zaman Rasulullah SAW. Ramai orang yang asalnya kafir telah beriktikad memeluk agama Islam kerana terpesona dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Lantaran itu, hal ini boleh menjadi pengajaran kepada kita bahawa akhlak yang mulia merupakan pendidik yang sungguh berkesan dalam hidup kita.

No comments:

Post a Comment