Seorang lelaki bertubuh sasa dan berpakaian segak singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat zohor. Dia sebenarnya bersama dengan ibunya ingin menziarahi keluarga pakcikya
Usai solat zohor dia menunggu ibunya di parkir kereta. Setelah beberapa minit menunggu, ibunya pun keluar dari masjid dan menuju ke arahnya. Namun, pemuda itu melihat ibunya sedang berbual-bual dengan dua orang wanita yang dia tidak kenali. Barangkali, mereka itu kenalan ibunya suatu ketika dahulu. Dia membiarkan sahaja mereka berbual mesra.
Tidak lama selepas itu, ibunya pun datang kepadanya manakala dua orang wanita itu menuju ke luar masjid dengan berjalan kaki.
Pemuda itu bertanya kepada ibunya, "Siapakah dua orang perempuan itu, ibu?"
"Itulah kawan lama ibu. Rumahnya tidak jauh dari sini. Dia datang bersama dengan anaknya ke masjid." jelas ibu kepada pemuda itu.
"Ayahnya tiadada kah?" Soal pemuda.
"Ada, ayahnya berada di dalam kereta diluar masjid." ujar ibunya.
Pemuda dan ibunya pun memasuki kereta dan memandu ke luar masjid untuk pergi ke rumah pakciknya. Jarak di antara masjid dan rumah pakciknya itu lebih kurang 4 kilometer sahaja lagi.
Selepas selesai menziarahi rumah pakciknya, pemuda itu pun memandu keretanya pulang ke rumah. Sebelum bertolak pulang, ibunya telah berpesan kepada pemuda itu, bahawa dia hendak singgah sebentar di rumah rakannya yang tidak jauh dari situ. Pemuda itu akur dengan kehendak ibunya. Apabila sampai di suatu simpang, ibunya menunjukkan jalan yang perlu dilalui untuk sampai ke rumah rakannya itu.
"Jemputlah masuk." Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40 tahun melambai ke arah pemuda dan ibunya yang baru keluar daripada kereta.
"Baiklah." balas pemuda itu.
"Jemputlah duduk," seorang wanita yang sebaya dengan ibunya keluar dari bilik menyapa dengan wajah tersenyum.
"Sudah besar anak kamu ini." sambung lelaki itu tadi.
"Iyalah, sudah 20 tahun kita tidak berjumpa. Semasa kita berpisah dahulu pun umur kita sudah belasan tahun." jawab ibu pemuda. Mereka bertiga meneruskan perbualan. Kadang-kadang rakan ibunya itu turut bertanya perihal pemuda itu. Pemuda itu menjawab dengan sopan.
Beberapa saat kemudian, datang seorang wanita muda lagi cantik dari arah dapur dengan membawa setalam air dan sedikit kuih di dalam pinggan. Jalannya begitu sopan, wajah sedikit menunduk. Pemuda itu memandang tepat ke arah wanita itu.
"Jemputlah minum." wanita itu bersuara sambil melihat kepada ibu pemuda itu. Setelah meletakkan talam di atas meja dia pun mengambil talam itu dan masuk kembali ke dalam dapur.
"Berapa umur Aisyah sekarang?" tanya ibu pemuda itu.
"Umurnya sudah 26 tahun." jawab rakan ibunya.
Setelah beberapa lama mereka pun menyatakan hasrat untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan, pemuda itu bertanya beberapa soalan kepada ibunya untuk mengetahui perihal tentang wanita muda itu tadi. Soalan-soalan yang diajukan mengambarkan dia begitu berminat dengan wanita itu.
Ibunya menjawab dengan tersenyum, kerana dia dapat menjangka apa yang tersemat di hati anak mudanya itu. Sebenarnya ibunya juga berkenan sejak berjumpa di masjid ketika solat zohor tadi lagi.
Ringkas cerita. Setelah dipersetujui oleh ke dua-dua belah pihak, maka pemuda itu pun mengikat janji dengan Aisyah menerusi pertunangan.
Aisyah yang bekerja sebagai guru sekolah sanggup menerima pemuda itu untuk dijadikan suaminya walaupun dia bekerja sebagai pemandu kapal terbang. Pertunangan mereka diikat selama dan selepas itu mereka akan diijab kabulkan.
Dalam tempoh setahun, suatu kejadian yang tidak diingini telah berlaku. Aisyah telibat dengan suatu kemalangan jalan raya ketika hendak pulang dari sekolah. Kecederaan yang dialaminya agak berat. Tangannya patah dan kulit mukanya turut cedera sehingga mencacatkan wajahnya.
Selepas kejadian itu, dia begitu malu kerana wajahnya tidak lagi seperti dahulu. Dia asyik terperap di dalam bilik kerana tidak sanggup wajahnya dilihat oleh orang lain. Malahan dia berputus asa dan tidak sanggup meneruskan perkahwinannya. Dia beranggapan bahawa tunangnya pasti akan memutuskan pertunangannya. Keadaan itu begitu membimbangkan kedua-dua orang tuanya.
Pelbagai usaha dijalankan untuk memujuk Aisyah, namun semuanya tidak berhasil. Dalam hati Aisyah dia masih sayangkan tunangnya. Oleh kerana tidak sanggup menerima hakikat yang melanda dirinya, dia membuat keputusan untuk memutus tunang terlebih dahulu sebelum tunangnya berbuat sedemikian. Sejak dari hari itu, dia tidak lagi menghubungi tunangnya sama ada emel, telefon atau surat.
Kemalangan yang menimpa diri Aisyah telah sampai ke pengetahuan bakal tunangnya. Namun begitu, pemuda itu tidak dapat pulang ke tanah air kerana dia sedang bekerja di Eropah. Hubungan antara pemuda dan keluarganya pun turut terputus.
Hari perkahwinan antara Aisyah dan pemuda itu akan berlangsung tidak beberapa hari sahaja lagi. Pemuda itu masih belum memberi sebarang berita. Ibu dan bapa pemuda itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana anak mereka tidak memberi jawapan apa-apa.
Seperti biasa, ibu Aisyah akan mengetuk pintu untuk menghantarkan makanan. Pada hari itu, setelah diketuk oleh ibunya dia pun membuka pintu biliknya. Dia begitu terkejut kerana orang yang menghantar makanan bukan ibunya. Lantas, dia berpaling dan mengambil selendang yang berada di atas katil untuk menutup mukanya.
Lelaki yang membawa makanan itu adalah tunangnya. Aisyah menyuruh lelaki itu keluar dari bilik. Tetapi lelaki itu enggan. Dia mengatakan kepada Aisyah" Wahai Aisyah, abang mencintai Aisyah bukan kerana wajah, tetapi kerana Allah."
Fikirkan
Sememangnya jodoh manusia telah ditentukan Allah SWT. Bagaimana halangan pun yang wujud di antara suatu hubungan, jika Allah SWT telah tetapkan jodoh mereka pasti ianya akan berlaku. Hebatnya kuasa Allah SWT.
Kita tidak mampu memikirkan setiap ketentuan Allah SWT yang berlaku di atas muka bumi ini. Pelbagai teka-teki yang sukar untuk dijawab oleh kita. Umpamanya, ada pasangan hidup yang mana si suami berbadan besar namun isterinya berbadan kecil lagi cantik. Ada wanita yang kelihatan gelap kulitnya tetapi pasangan hidupnya adalah lelaki berwajah putih.
Pastinya ada hikmah di sebalik ketentuan Allah SWT. Dia ingin melihat adakah kita bersyukur dan bersabar.
Artikel berkaitan yang lainnya:
Belum ada komen untuk "Pemandu Kapal Terbang"
Post a Comment