Hari ini hari Ahad. Mazlan, Karim dan Denial tidak balik ke kampung masing-masing kerana ada kerja yang perlu diselesaikan. Tambahan pula, mereka bertiga dijemput oleh Pak Usman ke rumahnya kerana ada majlis kenduri kahwin anak sulungnya Ridzuan.
Jam sudah menunjukkan hampir pukul 12 tengahari. Merujuk kepada kad jemputan yang diterima, majlis makan tengahari bermula jam 12 tengahari.
Ketika Mazlan dan Karim sedang bersiap-siap untuk ke majlis kenduri tersebut, Denial masih masih tercegat di ruang tamu sambil menonton rancangan di televisyen seolah-olah tidak mahu turut serta.
Mazlan dan Karim berasa hairan, kenapa Denial tidak bersiap lagi. Adakah dia tidak mengetahui bahawa ada walimatul urus pada hari ini? Sedangkan Pak Usman menyerahkan tiga keping kad jemputan walimatul urus yang tertera nama mereka bertiga di setiap kad.
Lantas, Mazlan bersuara, " Engkau tidak mahu ke rumah Pak Usman ke, Denial?"
"Aku malaslah, kalau hendak ke rumah Pak Usman" Jawab Denial.
"Kenapa pula?" Sahut Karim .
" Aku tidak ada wang kecil." Jawab Denial lagi.
"Kenapa pula perlu ada wang kecil." Balas karim
"Biasanya, kalau di kampung, ayah aku akan beri sedikit wang kepada tuan rumah yang menjemput kenduri. Aku cuma bersalam dengan tangan kosong sahaja." Denial memberi alasan.
"Memberi wang kepada tuan rumah bukannya wajib." Jawab Mazlan pula.
"Lagi pun tuan rumah yang menjemput kita, bukannya kita yang mempelawa diri sendiri untuk ke rumahnya."tambah Karim lagi.
Renung-renungkan.
Sebilangan masyarakat mudah berasa segan untuk ke walimatul urus sekiranya tidak membawa bersama wang ringgit untuk di hadiahkan kepada tuan rumah. Namun, kita tidak pula berasa segan jika menziarahi orang sakit tanpa membawa sebarang hadiah seperti wang atau buah tangan.
Sememangnya tidak menjadi kesalahan dan kita digalakkan memberikan hadiah kepada tuan rumah yang menjemput kita ke majlis kenduri kahwin anaknya.
Namun begitu, bukankah lebih baik kita mengutamakan orang yang sedang dilanda kesakitan yang lebih memerlukan hadiah dari kita. Jika kita boleh memberikan hadiah kepada tuan walimatul urus, maka kita seharusnya memberikan juga hadiah kepada orang yang sedang dilanda kesakitan.
Perlu juga diingat bahawa kita harus memilih apakah hadiah yang sepatutnya untuk diberikan kepada orang yang sedang sakit. Ini kerana, tidak semua orang yang sakit boleh menerima pemberian kita. Umpamanya, jika orang yang kita ziarah itu sedang mengidapi penyakit kencing manis, maka lebih baik kita sedekahkan wang ringgit berbanding makanan yang manis.
Artikel berkaitan yang lainnya:
Belum ada komen untuk "Kenduri: Biasakan Yang Sepatutnya"
Post a Comment