Nadia amat berharap agar dapat bertemu dengan rakan karibnya yang akan melangsungkan perkahwinan pada hari ini. Dia bersama suaminya masih belum sampai ke rumah kenduri.
Mungkin kerana maklumat yang tertera dalam kad jemputan walimatulurus kurang jelas menyebabkan suaminya terpaksa memandu perlahan. Tambahan pula, hujan turun semakin lebat.
"Cepatlah sedikit abang, kita sudah lewat ni." Nadia telah beberapa kali menyuruh suaminya memandu laju.
Suaminya hanya menyebut perkataan "Sabarlah..." Namun, setelah beberapa kali diulang oleh Nadia dengan perkataan yang sama, dia hanya diam seribu bahasa.
Apabila sampai ke sebuah simpang empat, suaminya terus memilih jalan terus sebaik sahaja lampu hijau bernyala.
"Kenapa abang ambil jalan ini?" tegus Nadia
"Abang rasa jalan ini lagi senang sampai kerana jalannya lurus sahaja." jawab suami Nadia.
"Kalau abang menghala ke simpang kanan jalannya lebih dekat. Lagi pula, kita sudah lambat sekarang ini. Nanti saya tidak sempat berjumpa dengan Nurul" suara Nadia agak tinggi.
"Sabarlah Ayang. Lagi pula jalan ini lebih selamat kerana pada kebiasaanya ketika hujan lebat jalan yang Ayang maksudkan mudah dinaiki air." Jelas suami Nadia.
"Ikut suka hati abanglah." Nadia bercakap sambil mengalih pandangan ke arah tingkap sebelah kiri.
Setelah tiga puluh lima minit masa berlalu, barulah mereka sampai ke rumah Nurul. Kelihatan orang yang berada di rumah kenduri tidak ramai. Kereta yang masih berparkir di kawasan berdekatan khemah hanya tinggal beberapa buah sahaja.
Nadia terasa malu untuk masuk ke rumah kenduri lantaran melihat suasana kenduri yang kian reda. Hendak sahaja dia menyuruh suaminya berpatah balik. Namun, kehadirannya telah di sedari oleh ibu Nurul yang pernah berjumpa dengannya beberapa kali sebelum ini.
Sememangnya kehadiran Nadia ditunggu oleh mereka sekeluarga. Sebaik sahaja keretanya kelihatan, ibu Nurul bergegas menuju ke arah kereta mereka serta menyuruh ayah Nurul yang berada di perkarangan halaman rumah turut menjemput Nadia masuk.
Nadia dan suaminya pun masuk ke dalam rumah dan menikmati hidangan kenduri yang masih ada. Namun, Nadia berasa sedih kerana tidak sempat berjumpa dengan rakan karibnya. Nurul telah pun dibawa oleh suami ke rumah pengantin lelaki.
Esoknya di pejabat, Nadia berbual-bual dengan rakan sekerjanya.
"Semalam engkau ke rumah Nurul ke tidak?" Faridah bertanya
"Pergi. Tetapi aku cukup menyesal kerana tidak sempat berjumpa Nurul. Ini sebab suami akulah. Dia pandu kereta perlahan sangat" Jawab Nadia
"Untunglah kamu Nadia." Jawab Faridah.
"Kenapa pula?" Nadia hairan.
"Kami sekeluarga langsung tidak sampai ke rumah Nurul. Jalan yang kami lalui banjir kilat. Kami tidak mampu bergerak langsung. Malahan kereta suami aku tidak rosak kerana dimasuki air." Jelas Faridah.
"Oh. begitu..."
Nadia diam seribu bahasa. Hatinya berasa menyesal mengenangkan tindakannya yang tidak agak keterlaluan terhadap suaminya. Bahkan dia cukup malu kerana meninggikan suara semasa bercakap dengan suaminya di dalam kereta semalam.
Fikirkan.
Terkadang kita terlupa bahawa Allah SWT lebih mengetahui setiap sesuatu. Setiap kejadianNya tidak sia-sia. Pasti ada hikmah yang tidak mampu kita duga.
Segala yang kita minta belum tentu baik bagi kita. Sebab itu Dia lambatkan permohonan kita.
Artikel berkaitan yang lainnya:
Belum ada komen untuk "Lambat Tapi Selamat"
Post a Comment