Sudah menjadi rutin kami sekeluarga menziarahi Tok Tam yang semakin uzur setiap tahun. Umurnya kini hampir mencecah 65 tahun tetapi masih lagi kuat bersolat di masjid meskipun terpaksa jalan bertongkat.
Alhmdulillah, Hari Raya Aidilfitri tahun ini dirasakan agak meriah kerana semua ahli keluarga dapat berkumpul bersama. Adik pertama saya bekerja di Kubang Kerian, Kelantan. Manakala adik kedua bekerja di Kedah dan saya sendiri bekerja di Pulau Pinang. Abah dan emak juga turut ceria dengan kehadiran cucunya yang bertambah lagi seorang menjadikan empat orang cucu ke semuanya.
Perjalanan untuk sampai ke rumah Pak Tam mengambil masa hampir tiga jam lebih memerlukan kami bertolak awal pagi. Setelah diputuskan dalam mesyuarat keluarga kelmarin, kamu semua setuju bahawa kami akan bertolak pada jam 8.30 pagi.
Oleh kerana semua ahli keluarga akan turut serta dalam rombongan ini, maka kami memerlukan tiga buah kereta. Abah naik bersama-sama saya. Emak pula naik dengan adik ke dua saya. Kami bergerak secara berkonvoi.
Sebaik sahaja jam di tangan saya menujukkan 8.25 pagi, saya meminta isteri dan anak-anak masuk ke dalam kereta. Begitu juga abah, ibu dan adik-adik yang lain, semuanya kelihatan telah siap sedia untuk memulakan perjalanan.
Lebih kurang jam 8.33 pagi, kami pun mula bergerak menuju ke lebuh raya utara selatan. Dengan harapan perjalanan kami selamat dan sampai seperti mana yang dirancangkan.
Sejam lebih kami berada di atas lebuh raya dan perjalanan kami berjalan dengan lancar. Namun, keadaan jalan semakin sesak dengan bilangan kenderaan yang kian bertambah. Keadaan ini menyebabkan kelajuan kereta terpaksa dikurangkan. Semua yang berlaku sudah ketetapan Ilahi. Sebagai hambaNya yang lemah, kita perlu redha dengan ketentuannya.
Berdasarkan perhitungan kami perjalanan untuk sampai ke rumah Tok Tam memakan masa lebih kurang tiga jam jika pemanduan dapat dilakukan dengan kelajuan yang tetap iaitu 100km/jam. Sekiranya kelajuan terpaksa dikurangkan atau ada masalah-masalah lain yang tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya mungkin perjalanan mengambil masa lebih daripada tiga jam.
Kelajuan kenderaan kami terpaksa di kurangkan lagi kerana jumlah kenderaan semakin meningkat.Di tambah pula hari semakin terik dan bahang sinar mentari kian terasa. Kereta yang saya pandu berada di belakang manakala dua buah kereta yang dipandu oleh adik saya berada di hadapan.
Pada awal perjalanan, kereta kami bertiga dapat berturutan tanpa ada halangan oleh kereta lain. Namun, dengan pertambahan kenderaan yang banyak dan ada pula kenderaan lain yang bergerak laju untuk mencari ruang yang dirasakan muat untuk dimasuki menyebabkan jarak kereta saya semakin terbelakang. Sehinggakan saya tidak dapat melihat di mana kereta adik-adik saya.
Empat jam telah berlalu. Saya bersama isteri dan anak-anak masih lagi berada di atas lebuh raya dan saya rasakan adik-adik saya telah jauh ke hadapan. Maklumlah saya kurang mahir dalam pemanduan berbanding adik-adik saya. Mereka lebih cekap dan tindakan mereka lebih pantas berbanding saya.
Tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. Saya dapati nama adik saya terpampang di screen telefon. Saya serahkan telefon tersebut kepada isteri supaya beliau dapat menjawabnya. Saya tidak dapat menjawab telefon kerana hendak memberi penumpuan terhadap pemanduan.
"Abang, angah kata mereka telah keluar dari lebuh raya utara selatan."
"Mereka hendak tunggu kita di stesen minyak Petronas sebelah kiri selepas susur keluar tol lebuh raya." Isteri saya bersuara sambil menyampaikan maklumat daripada panggilan telefon.
"Baguslah mereka telah keluar, diharap kurang sedikit kesesakan lalu lintas." Saya menjawab dan meneruskan pemanduan.
Sekiranya kesesakan di lebih raya yang membolehkan pemanduan dengan kelajuan 30km/jam, saya rasakan hampir sejam baru boleh saya keluar daripada lebuh raya.
"Tolong cakap dekat angah, kalau along lewat lebih baik tunggu di masjid berkubah kuning. Nanti boleh solat terus." Tambah saya lagi.
Isteri saya menyampaikan maklumat tersebut menerusi telefon dan perbualan mereka terhenti.
Di takdirkan, perjalanan di atas lebuh raya masih tidak berubah. 45 minit telah berlalu. Kami sekeluarga masih jauh dari susur keluar.
Telefon bimbit saya berbunyi sekali lagi. Isteri saya terus mengangkat dan menjawab panggilan telefon. Saya biarkan isteri saya menjawab tanpa menyoal sebarang soalan.
Kemudian, isteri saya menghentikan panggilan telefon. Dia menyatakan kepada bahawa adik-adik saya hendak bergerak ke rumah Tok Tam sekarang juga kerana menunggu saya terlalu lama. Saya tersenyum sambil memandang ke arah jam tangan. Lebih kurang sepuluh minit lagi akan masuk waktu solat zohor.
Anak-anak saya nampak gelisah berada di dalam kereta. Mungkin mereka terasa jemu, tidak selesa ataupun perut mereka telah lapar. Saya meminta kepada isteri keluarkan sedikit makanan yang dibawa dan diberikan kepada anak-anak dan abah.
"Sabar ya...kita hampir sampai ni." saya melontarkan kata-kata.
Alahmdulillah, akhirnya saya pun keluar daripada lebuh raya dan terus berhenti di masjid berkubah kuning yang berada dua kilometer selepas stesen Petronas. Kami bersolat zohor terlebih dahulu kerana takut tidak sempat bersolat zohor kerana perjalanan untuk sampai ke rumah Tok Tam lebih kurang 45 minit lagi.
Usai solat saya rasa lega dan lapang dada sebab berjaya menyelesaikan tanggungjawab penting. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan sehingga sampai ke rumah Tok Tam.
Syukur, kami sampai juga ke rumah Tok Tam. Kami dijemput masuk ke dalam rumah. Namun, saya agak terkesima kerana saya dapati kereta adik-adik belum sampai. Sedangkan mereka berada di hadapan saya dan lebih dahulu keluar daripada lebuh raya. Saya tanya kepada Tok Tam adakah adik saya sudah sampai. Namun, Tok Tam sendiri tidak tahu.
Setengah jam kemudian baru adik-adik saya sampai. Mereka dijemput masuk. Saya dapati mereka agak kepenatan.
"Kenapa lewat?" Abah saya bertanya.
"Kami tersesat. Pulak tu jalan yang kami lalui tadi ada kemalangan." Jawab adik saya.
Saya terfikir sejenak. Adik saya seorang yang mahir dengan jalan ke sini sebab dia selalu juga bertandang ke sini sebelum ini. Inilah kuasa Tuhan.
"Tok Tam, boleh kami tumpang solat zohor?" Adik saya meminta izin untuk bersolat.
"Silakan, jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri." Jawab Tok Tam.
Saya memandang ke arah jam tangan. Tinggal lagi dua puluh minit akan masuk waktu asar.
Fikirkan-fikirkan
Sarjana Islam pernah menyebut seandainya kita menjaga agama Allah maka Allah akan mudahkan urusan kita.
Kisah di atas bukan kisah sebenar tetapi mungkin pernah berlaku kepada sesiapa sahaja. Bukan juga berniat menyalahkan sesiapa. Namun apa yang perlu kita fikirkan bagaimana untuk biasakan diri dalam mengutamakan tanggungjawab kepada Allah SWT. Umpamanya bersolat di awal waktu merupakan saranan Rasulullah SAW untuk kita amalkan kecuali ada keuzuran.
Sekiranya adik saya tadi menunggu waktu solat dahulu kerana waktu solat sudah hampir tiba sebelum meneruskan perjalanan mungkin dia tidak tersesat dan tersepit di tengah jalan.
Waalahu'alam. Astaghfirullahal 'Azim...
ASkm. terima kasih perkongsian yg sangat baik ini. mudahan sama2 kita menjaga solat kita, insyaAllah.
ReplyDeleteTerima kasih Tuan Denai Hati. Saya begitu teruja mendapat singgahan dari Tuan
ReplyDelete