Suatu kisah yang pernah kita dengar atau baca dan sering diulang-ulang oleh para pendakwah berkenaan dengan taubat adalah cerita seorang pembunuh 100 orang.
Secara ringkasnya, lelaki tersebut telah membunuh seramai 99 orang. Lantaran timbul keinsafan di dalam dirinya, maka dia ingin bertaubat dan berjumpa dengan seorang lelaki untuk mendapatkan penjelasan tentang nasibnya.
Dia pun bertanyakan lelaki itu adakah Allah SWT masih menerima taubatnya. Lelaki itu memberi penjelasan bahawa pintu taubatnya telah pun ditutup. Oleh kerana tidak dapat menerima kenyataan lelaki itu, lantas dia membunuh lagi seorang maka cukuplah angka ke seratus.
Ditakdirkan Allah SWT, maka pembunuh itu berjumpa dengan seorang alim dan bertanya soalan yang hampir sama dengan lelaki ke seratus dibunuhnya.
Orang alim itu menyatakan bahawa Allah SWT maha pengampun dan taubatnya masih diterima dengan syarat dia perlu ke suatu tempat untuk dia memohon maaf kepada waris si mati yang pernah dia membunuhnya.
Pembunuh yang telah insaf dan berazam untuk mendapatkan keampunan Allah SWT telah bergerak menuju ke tempat yang dimaksudkan. Namun begitu, belum sempati dia sampai ke tempat tersebut ajalnya lebih dahulu tiba.Maka dia mati di tengah jalan.
Pada saat itu, turun dua malaikat yang berebut untuk membawa rohnya sama ada mendapat rahmat atau azab Allah SWT. Kemudian, Allah SWT perintahkan satu lagi malaikat yang menjadi hakim untuk menetapkan ke mana rohnya akan dibawa.
Maka malaikat tersebut memutuskan bahawa untuk menentukan ke mana roh lelaki ini akan dibawa adalah dengan mengukur jarak di antara tempat dia hendak tujui dengan jarak tempat yang dia tinggalkan. Seandainya jarak ke tempat yang hendak ditujui lebih dekat maka roh lelaki itu menjadi milik malaikat yang hendak membawanya kepada kerahmatan Allah SWT. Namun, sekiranya jarak tempat dia tinggalkan lebih dekat maka rohnya menjadi milik malaikat yang akan membawanya kepada azab Allah SWT.
Setelah diukur, jarak di mana lelaki itu mati adalah lebih dekat sedikit dengan tempat yang hendak dituju berbanding dengan jarak dari tempat yang dia tinggalkan. Maka malaikat yang akan membawa rohnya untuk mendapat rahmat Allah SWT menjadi nasibnya.
Fikir-fikirkan
Menerusi kisah di atas, kita perlu merenung akan kehebatan dan kebesaran Allah SWT. Salah satu kebesaran Ilahi yang tidak dapat kita nafikan adalah keampunanNya. Rasulullah SAW yang telah maksum pun tidak meninggalkan istighfar sekurang-kurangnya 70 puluh kali sehari. Inikan pula kita, manusia yang lemah dan seringkali melakukan kesalahan. Sudah tentu kita perlu bertaubat lebih banyak lagi.
Meskipun berapa banyak dosa yang telah kita lakukan, teruskan bertaubat kerana Allah SWT maha pengampun.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:" Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberi rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.
Riwayat Abu Daud
No comments:
Post a Comment