Tuesday, November 6, 2012

Penjahat Mekah: Biasakan yang sepatutnya


Sebuah pasar malam yang agak besar telah dibuka berdekatan dengan sebuah taman perumahan. Pasar malam akan dibuka seawal pukul lima petang pada setiap hujung minggu.Terdapat pelbagai barangan yang boleh diperolehi di situ dan kelihatan ramai orang yang berkunjung ke pasar malam tersebut setiap kali ianya dibuka.

Namun demikian, Amran jarang sekali membawa isterinya membeli belah di pasar malam yang tidak berapa jauh dari rumah mereka itu. Ini kerana, dia tidak gemar bersesak-sesak dan membuang masa yang terlalu lama di pasar malam tersebut.

Sekiranya ada barangan yang perlu dibeli, maka dia akan meminta isterinya menyenaraikan barangan yang dikehendaki di atas sehelai kertas. Kemudian, dia akan keluar dari rumah seawal mungkin untuk ke pasar malam tersebut sebaik sahaja ianya dibuka.

Pada waktu tersebut, para pembeli masih belum ramai yang bertandang. Hasilnya, Amran tidak perlu bersesak-sesak atau berebut-rebut untuk membeli barang. Biasanya, sebelum waktu maghrib dia akan pulang ke rumahnya dengan membawa balik semua barangan yang telah dibeli.

Pada minggu ini isteri Amran ingin membeli sebidang kain untuk dijadikan langsir. Oleh kerana Amran tidak mahir dalam memilih warna atau corak yang digemarinya, adalah lebih baik dia mengajak isterinya untuk turut bersama ke pasar malam tersebut.

Seperti biasa, dia mengajak isterinya keluar seawal mungkin mudah-mudahan sebelum maghrib dia sudah boleh pulang ke rumah.

Semasa Amran dan isteri berjalan-jalan di dalam pasar malam tersebut.Tiba-tiba isterinya manarik tangan Amran dan mengajak pergi ke arah sekumpulan manusia yang sedang berkumpul.

Isterinya ingin mengetahui apakah yang berlaku di situ kerana dari jauh kedengaran suara orang sedang memberi ucapan. Nada suaranya yang agak kuat, tetapi tidak dapat difahami apa yang diucapkan kerana kurang jelas.

Rupa-rupanya, lelaki yang dikelilingi oleh beberapa orang pengunjung itu sedang menjual ubat. Dia begitu petah berkata-kata sehinggakan orang yang berada di sekelilingnya begitu tertarik dan sanggup berdiri lama tanpa rasa lenguh. Tambahan pula, lelaki itu turut menujukkan aksi bermain dengan beberapa ekor ular berbisa.

"Tuan-tuan dan puan-puan…"

"Semasa saya ke negara Arab tahun lepas, saya berjumpa guru dengan saya…"

"Beliau menyuruh saya mengambil akar kayu ini untuk dijadikan ubat."

"Burung borak yang ditunggangi oleh Nabi kita pun pernah berdiri di atas pokok."

"Tuan-tuan dan puan-puan tahukah berapa kelajuan borak?"

"Lapan puluh kilometer sejam."

"Sebarang penyakit boleh sembuh dengan ubat yang dibuat dari akar kayu ini." Penjual ubat itu bersuara kembali setelah beberapa minit menunjukkan aksi bermain dengan ular senduk.

Isteri Amran turut terpengaruh dengan apa yang diucapkan oleh penjual ubat itu.

"Abang, baguslah ubat ini." Isterinya berbisik ke telinga Amran.

"Burung borak pun berdiri di atas pokok itu." Tambahnya lagi.

"Ayang boleh percaya kah dengan kata-kata orang itu." Amran berbisik kepada isterinya agar tidak didengari oleh orang lain.

"Kenapa pula abang?" Isterinya bertanya kebingungan.

"Setahu abang, ustaz mengatakan ada ulamak berpendapat bahawa kelajuan borak sekali lompat adalah sejauh mata memandang. Ada juga mengatakan kelajuannya adalah seumpama kelajuan cahaya." Jawab Amran dengan penjelasan yang agak panjang.

"Tetapi dia cakap, dia sendiri pergi ke negara Arab dan berjumpa dengan gurunya." Isterinya masih melontar soalan.

"Sayang…penjahat Mekah, Abu Jahal lahir di tanah Arab dan  meninggal pun di tanah Arab." Jawab Amran.
Isterinya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Lantas, mereka pun beredar ke tempat lain.

Fikir-fikirkan

Tidak semestinya semua orang Arab itu semuanya baik sedangkan orang yang jahat ada di mana-mana. Berapa ramai orang lahir di Mekah semasa zaman Rasulullah SAW. Contohnya Abu Jahal dan Abu Lahab. Mereka ini hidup sezaman dan pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW. Namun, mereka ini penentang kuat ajaran yang dibawa Rasulullah SAW.


Begitulah betapa Allah SWT itu maha Kuasa lagi maha Adil. Dia tidak mengagungkan seseorang kerana bangsa atau tempat. Tetapi dia mengangkat sesorang kerana agamanya.

No comments:

Post a Comment