Pada zaman dahulu, terdapat sebuah kerajaan yang diterajui oleh seorang raja yang begitu tamak, sombong dan zalim. Raja tersebut sanggup melakukan apa sahaja asalkan segala hajatnya tercapai.
Meskipun harta kekayaan yang dimilikinya sudah melimpah ruah, namun dia masih tamak dan mahukan harta kekayaan yang lebih lagi.
Segala harta rakyat dikenakan cukai yang tinggi pada setiap bulan. Pekerja-pekerja yang bertungkus lumus melakukan tugasan harian hanya mendapat upah yang sedikit. Upah yang mereka hanya mampu meneruskan kelangsungan hidup sahaja.
Pada suatu hari raja yang tamak tersebut memerintahkan ahli sihir diraja untuk datang mengadap. Ahli sihir tersebut merupakan seorang yang paling hebat ilmu sihirnya dalam negeri tersebut.
Setelah ahli sihir itu datang mengadap raja.
"Wahai ahli sihir diraja, beta perintahkan agar dilakukan dengan apa sahaja cara sekalipun, asalkan beta boleh mendapatkan suatu kuasa ajaib." titah raja itu.
"Apa maksud Tuanku?" tanya ahli sihir.
"Beta mahukan kuasa ajaib yang boleh menambah kekayaan yang banyak." titah raja lagi.
"Tetapi kenapa perlukan kuasa ajaib?" soal ahli sihir lagi.
"Jangan banyak bertanya, nanti beta akan hukum ahli sihir jika melanggar perintah beta." bentak raja.
"Ampunkan patik Tuanku. Patik akan usahakan Tuanku." ujar ahli sihir.
"Beta berikan ahli sihir tempoh selama tiga hari tiga malam sahaja." perintah raja lagi.
"Menjunjung perintah Tuanku."jawab ahli sihir.
Ahli sihir itu pun pulang ke rumah dan memikirkan apakah cara yang patut dilakukan. Sekiranya dia tidak menemui jalan penyelesaian, matilah jawabnya. Dia terus mencari dan mencari kaedah untuk melunaskan kehendak raja zalim itu.
Setelah hari yang dijanjikan tiba, ahli sihir itu pun datang mengadap untuk sekali lagi.
"Ampun Tuanku, patik sudah dapat satu ramuan yang boleh memberikan Tuanku memiliki kuasa ajaib." ahli sihir bersuara.
"Bagus ahli sihir, cepat berikan kepada beta." perintah raja.
"Ini merupakan ramuan yang cukup berkuasa. Jika tuanku memakannya Tuanku akan memiliki kuasa. Segala yang disentuh oleh Tuanku akan menjadi emas." jawab ahli sihir.
"Ini lah yang beta carikan selama ini. Cepat, serahkan kepada beta" raja begitu taksub dengan ramuan yang dicipta oleh ahli sihir itu.
"Tapi Tuanku, jika ramuan ini tidak ada penawarnya."ahli sihir memberi penjelasan.
"Beta tidak peduli, asalkan beta menjadi kaya." jawab raja.
Dengan begitu rakus, raja yang tamak itu mencapai ramuan yang dibawa oleh ahli sihir dan memakannya. Usai memakan ramuan itu, raja tersebut berasa kepeningan menyebabkan badannya terhuyung hayang dan terjatuh ke bawah.
Raja itu pengsan di atas karpet istana yang berwarna kuning. Ahli sihir yang begitu setia kepada rajanya itu menunggu sehingga raja sedar.
Apabila raja sedar, dia berasa pelik kerana lantai istana telah berubah. Lantai istana dibentangkan karpet berwarna kuning pada asalnya telah berubah mejadi emas.
Raja pun ketawa berdekah-dekah kerana impianya telah menjadi kenyataan. Karpet istana itu berubah menjadi emas kerana terkena tangan raja ketika dia pengsan tadi. Ahli sihir yang berada berdekatan dengan raja hanya tersenyum.
Oleh kerana terlalu gembira, raja ingin memberi penghargaan kepada ahli sihir tersebut. Sebelum disampaikan hadiah kepada ahli sihir, raja memgang bahu ahli sihir itu, lantas ahli sihir itu bertukar menjadi emas.
Pada permulaanya raja itu begitu gembira dengan kuasa yang dimilikinya. Namun begitu, lama ke lamaan dia sudah bosan. Habis barangan dalam istana bertukar menjadi emas lantaran disentuh oleh raja. Permaisuri, anak dan beberapa orang dayang juga bertukar menjadi emas. Sehinggakan makanan yang hendak dimakannya turut berubah.
Penghuni istana yang mengetahui keadaan raja mereka itu melarikan diri meninggalkan istana. Kini tinggallah raja itu seorang diri di dalam istana yang penuh dengan emas. Akhirnya raja itu mati kebuluran kerana tiada apa yang boleh dimakan lagi.
Fikirkan.
Harta kekayaan bukanlah segala-galanya dalam hidup kita. Meskipun kita perlu mencari duit untuk meneruskan hidup.
Kita dituntut mencari harta sebagai kegunaan untuk kita melakukan amal ibadah. Bukannya menjadikan harta kekayaan sebagai matlamat hidup.
Belum ada komen untuk "Segalanya Emas"
Post a Comment