Pn Rahmah dikurniakan seorang anak tunggal yang cukup bijak dan pandai dari segi pembelajaran. Sejak kecil lagi anaknya Osman menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang dalam bidang akademik.
Setelah tamat pengajian diperingkat Diploma Kejuruteraan Elektrik Elektronik di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, dia berpeluang melanjungkan pelajarannya ke United Kingdom.
Hampir setahun dia berada di sana bagi menjalani kehidupannya sebagai seorang pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Dia hanya berhubung dengan ibu dan bapanya menerusi telefon ataupun mengutus emel. Ibu dan bapanya amat merinduinya.
Pn Rahmah amat berharap agar Osman dapat pulang ke tanah air meskipun hanya seketika bagi mengubat rindu. Begitu juga dengan Osman yang turut sama merindui keluarganya di Malaysia.
Apabila tiba musim panas, dia mendapat cuti yang agak panjang. Inilah masa yang ditunggu-tunggu olehnya untuk pulang ke negara yang dicintainya.
Akhirnya dia pun pulang ke pangkuan keluarganya. Ibu dan ayahnya begitu gembira melihat anaknya yang semakin besar.
Pelbagai resepi dan masakan kegemaran anaknya disediakan. Pelbagai aktiviti yang mereka sering lakukan sebelum dia keluar negara dilaksanakan bersama seperti bersolat berjemaah,berkelah, membeli belah, menziarahi keluarga dan sebagainya.
Hari ini merupakan hari terakhir Osman berada bersama keluarganya. Cutinya telahpun tamat dan dia akan memulakan pengajiannya dua hari lagi.
Tiket penerbangan yang ditempah oleh Osman adalah pada jam 4.00 petang ini. Sekarang jam baru menunjukkan pukul 10.30 petang.
Oleh kerana jarak di antara rumah mereka ke lapangan terbang tidak berapa jauh, maka dia tidak perlu tergesa-gesa untuk ke sana. Ayah Osman berjanji akan menghantarnya ke lapangan terbang pada jam 3.00 petang. Sempat lagi untuk mereka berborak-borak menghabiskan sisa waktu yang ada.
Sebaik sahaja azan zohor berkumandang, Osman mengajak ibu dan ayahnya bersolat berjemaah dan diimamkan oleh Osman sendiri. Usai solat dia pun berdoa panjang. Ibu dan ayahnya menadah tangan dan mengaminkan doa anak kesayangan mereka itu.
Tepat jam 2.00 petang, Osman meminta izin ibu dan ayahnya untuk tidur sekejap kerana dia terasa begitu mengantuk. Dia meminta agar dikejutkannya pada jam 2.40 petang. Ibu dan ayahnya yang sedang menonton televisyen tersenyum dan mengiyakan permintaan anaknya.
Osman pun masuk ke dalam bilik dan tertidur. Segala beg dan keperluan yang hendak dibawanya diletakkan di ruang tamu agar senang untuk di bawa nanti.
Pn Rahmah dan suaminya masih asyik menonton televisyen. Tiba-tiba rancangan yang mereka tonton diberhentikan kerana ada berita semasa yang disampaikan. Dalam berita tersebut ditayangkan keadaan cuaca buruk yang sedang berlaku di suatu tempat. Tempat yang dimaksudkan sebenarnya bakal dilalui oleh kapal terbang yang akan dinaiki oleh anaknya.
Pn Rahmah dan suami berasa bimbang akan nasib anak yang sedang nyenyak tidur. Fikiran mereka sama. Mungkin perkara buruk akan berlaku sekiranya Osman menaiki kapal terbang itu nanti.
Tatkala jam sudah menunjukkan pada pukul 2.45 petang. Pn Rahmah membiarkan sahaja Osman tidur kerana risaukan anaknya. Sekiranya dikejutkan, sudah tentu Osman ingin pergi. Dia beranggapan, biarlah anaknya ketinggalan kapal terbang asalkan anaknya selamat.
Pada jam 6.00 petang sekali lagi berita semasa disiarkan. Berita tersebut memaklumkan bahawa keadaan cuaca sudah kembali setabil. Osman masih lagi nyenyak tidur.
Apabila hampir senja, Osman masih belum bangun. Pn Rahmah pun menuju ke bilik Osman. Di ketuknya pintu bilik, namun tidak berjawab.
Lantaran beberapa kali ketukan pintu tidak dibuka, Pn Rahmah membuka pintu bilik Osman yang tidak berkunci. Dilihatnya Osman tidur membatu.
Dia pun menggoyang bahu Osman untuk mengejutkan anaknya. Setelah dipanggil beberapa kali anaknya tidak memberi respon. Pn Rahmah terus menjerit memanggil suaminya.
"Abang...Osman telah pergi."
Fikirkan
Sesungguhnya maut itu pasti datang. Ia tidak lambat ataupun cepat meskipun sesaat. Cuma, masanya sahaja yang tidak kita ketahui.
Usah bimbang akan kematian kerana ia tidak akan lari dari kita tetapi kita perlu bimbang persediaan kita untuk menghadapinya.
Artikel berkaitan yang lainnya:
Belum ada komen untuk "Meninggalkan Kapal Terbang"
Post a Comment