Wednesday, March 17, 2010

MUSLIM


Assalamualaikum dan salam sejahtera...


Kehidupan di dunia ini merupakan jambatan untuk kita menuju akhirat. Namun, panduan yang mengikut landasan Al-Quran dan Hadith Nabi Muhammad SAW wajib diguna pakai oleh kita makhluk Allah SWT yang lemah lagi hina untuk mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Segala panduan ini disampaikan oleh Allah SWT kepada RasulNya untuk disebarkan kepada seluruh umat dan kini perutusan Rasul itu diteruskan oleh Ulama-ulamak agar umat yang bergelar MUSLIM (termasuk lelaki dan perempuan) tidak sesat dari jalan sebenar.


Antara tip kecemerlangan duniawi dan ukhrawi boleh disingkap daripada perkataan MUSLIM ialah:


  • M-Matlamat: Setiap orang yang ingin berjaya atau meneruskan hidup di atas muka bumi ini mesti mempunyai matlamat yang jelas dan tidak bercanggah dari segi syarak untuk dicapai. Contoh matlamat yang boleh dijadikan impian ialah mencapai syurga, mencapai makrifatullah, membaca 30 Juzuk Al-Quran, menunaikan haji, mendapat ijazah, mendapat sarjana dan sebagainya.


  • U-Usaha: Setelah matlamat yang jelas telah ditetapkan, kita mesti bertindak untuk mencapai matlamat tersebut dengan berusaha bersungguh-sungguh. Allah SWT menjanjikan kejayaan kepada sesiapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh.


  • S-Sabar: Setiap usaha yang dilakukan akan menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan, maka itu, elemen kesabaran sangat penting dalam hidup kita. Apatah lagi dalam proses untuk mencapai sesuatu matlamat yang hendak dicapai.


  • L-Luhur: Luhur merujuk kepada keikhlasan diri sendiri. Apa sahaja pekerjaan atau amal yang kita lakukan mesti ikhlas kerana Allah SWT. Allah SWT tidak melihat kepada pangkat, kemegahan, kemewahan atau sebagainya kerana Allah SWT hanya akan melihat kepada makhlukNYA yang ikhlas dalam beribadat.


  • I-Istiqamah: Allah SWT sangat menyayangi hambaNYA yang beristiqamah dalam beribadat. Konsep beristiqam dalam Islam ialah melakukan sesuatu amalan yang benar dan betul caranya menurut syarak (berdasarkan ilmu) dan berterusan.


  • M-Muhasabah: Kita harus menyedari bahawa manusia hanyalah makhluk Allah SWT yang bersifat baharu (tidak memberi bekas) yang mana segala usaha yang dilakukan belum tentu terjamin akan mendapat hasil yang diinginkan. Oleh itu, kita perlu muhasabah diri, tengok kesalahan diri dan mohon ampun serta berdoa dengan beristiqamah agar kita mendapai kejayaan dalam keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Marilah kita menuntut ilmu dan beramal.

No comments:

Post a Comment