Assalamualaikum..
Sebuah lagi buku yang telah dibaca oleh saya. Buku ini saya jadikan rujukan dan sesiapa yang ingin menjadi penulis boleh membacanya.
Penulis : Jeniri Amir,
Jumlah Muka surat : 396
Sinopsis
Buku ini sesuai dijadikan buku pegangan bagi para penulis profesional. Ia turut menerangkan strategi menulis untuk diterbitkan dalam pelbagai media.
Ditulis untuk sesiapa yang berminat menjadi penulis rencana, wartawan, pemberita, pegawai perhubungan awam dan pegawai komunikasi korporat.
Sebagaimana profesion lain, sekiranya anda mahu berjaya dalam penulisan rencana, persiapan tertentu dituntut kerana hasil penulisan yang baik tidak lahir secara kebetulan.
Persiapan yang rapi daripada semua segi adalah perlu seperti mental, emosi, fizikal dan sebagainya. Oleh sebab itu, calon penulis dan mereka yang sudah melibatkan diri dalam bidang penulisan rencana perlu terus berusaha meningkatkan pengetahuan berkaitan teori dan prinsip. Ia bukan sahaja bagi menjamin karya disiarkan, tetapi juga karya itu seronok dibaca.
Buku Buat Duit dengan Menulis ini bertujuan berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan penulisan rencana daripada peringkat bagaimana mencari idea hinggalah strategi menghantar karya itu kepada pihak media.
Kini, peluang untuk anda menulis rencana dan menghantarkannya ke majalah dan akhbar terbuka luas asalkan anda rajin. Di tanah air, terdapat sekurang-kurangnya 250 buah majalah dan akhbar yang sebahagian besar memuatkan rencana. Asalkan anda tahu selok-belok penulisan, mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam penulisan, anda dapat sahaja menulis dan menghantarkan karya kepada media itu.
Mendengarkannya, begitu mudah!
Sebenarnya, hendak menjadi penulis rencana yang prolifik, berwibawa dan disegani tidaklah mudah. Jalan yang dilalui adalah panjang dan berliku-liku dan hanya yang gigih dapat mengukir kejayaan. Dengan menulis rencana, anda bukan sekadar dapat menikmati keseronokan dan pengiktirafan tetapi juga mendapat bayaran sekiranya rencana anda disiarkan.
Buku ini menumpukan perhatian pada komposisi rencana iaitu pendahuluan, tubuh, peralihan dan penutup. Dengan menyedari pendahuluan adalah pemancing penting bagi memikat khalayak, maka pelbagai jenis pendahuluan dikemukakan dengan teknik dan prinsip penulisan tertentu.
Komposisi rencana yang mantap adalah syarat penting rencana yang bermutu. Bagaimanakah cara anda menganyam segala bahan yang diperoleh membabitkan komposisi tubuh rencana? Tubuh rencana boleh terdiri daripada fakta, maklumat, contoh, huraian, pelukisan, statistik dan sebagainya. Semua alat itu perlu dianyam dengan berseni bagi meninggalkan kesan yang hebat.
Secara khusus, buku ini juga memberi tumpuan kepada pelbagai jenis rencana. Rencana yang dihuraikan termasuk rencana berita, rencana cebisan berita, rencana editorial, rencana wawancara soal jawab, rencana profil, kolum, rencana tuntutan keterampilan, rencana ulasan, rencana pesona dan rencana kisah. Setiap jenis rencana mempunyai prinsip dan gaya penulisan yang tersendiri. Setiap prinsip dan gaya itu perlu dikuasai oleh penulis.
Buku ini juga menggariskan jenis judul dan prinsip penulisan judul yang baik meskipun tugas ini pada hakikatnya dilakukan oleh editor. Namun, ada baiknya rencana yang dikemukakan kepada editor mempunyai judul yang menarik dan berkesan.
Setidak-tidaknya, ini dapat membantu menjimatkan masa editor memikirkan judul. Jika ia berkenaan dengan judul itu, pasti judul itu digunakan.
Buku ini diharap dapat membantu wartawan, penulis dan calon wartawan bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam penulisan rencana.
Panduan di dalam buku ini adalah berdasarkan pengalaman penulis menghasilkan lebih daripada 1500 rencana yang disiarkan dalam pelbagai majalah dan akhbar tanah air lebih daripada 20 tahun, menjadi ketua editor akhbar selama lima tahun dan akhirnya sebagai pensyarah kursus penulisan rencana di universiti.
Buku ini sesuai dibaca oleh wartawan, editor, penulis, pelajar sekolah dan pelajar universiti, pengamal komunikasi korporat di sektor awam dan swasta serta mereka yang berminat membaca rencana.
Artikel berkaitan yang lainnya:
Belum ada komen untuk "Review Buku: Buku Buat Duit dengan Menulis"
Post a Comment