Ainiza merupakan pelajar yang rajin dan pandai. Selepas darjah enam, dia berjaya memasuki sekolah berasrama penuh di Ipoh, Perak.
Ainiza memiliki suatu hobi yang sama dengan kebanyakkan pelajar perempuan lain di sekolah berasrama penuhnya iaitu membaca novel.
Di waktu lapang, beliau sering membaca novel. Tidak cukup novel yang dibeli dengan menggunakan duit tabungannya, dia turut meminjam beberapa buah novel daripada sepupu dan rakan-rakan. Selain itu, dia juga gemar berkunjung ke perpustakaan sekolah dan awam untuk mencari novel-novel yang diminatinya.
Novel yang diminatinya adalah yang berunsurkan Cinta Islamik. Antara novel yang pernah menjadi bacaannya adalah Ketika Cinta Bertasbih, Dari Mihrab Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Sebarkan Cintamu dan lain-lain lagi.
Oleh kerana minatnya yang terlalu mendalam tentang novel, dia jarang sekali dilihat bersama rakan-rakan lain bergaul atau berbual-bual. Bahkan, kadang-kadang ke mana rakan sebiliknya pergi pun dia tidak ketahui.
Pada suatu hari, rakannya Faridah menyapa Ainiza ketika hendak pergi ke masjid.
"Ainiza..." tegur Faridah.
"Ya..." Ainiza yang sedang membaca novel menyahut dengan ringkas.
"Rajin membaca?" Faridah masih bersuara.
"Biasa sahaja." Jawab Ainiza.
"Baca apa tu?"Faridah bertanya.
"Baca novel." Jawapan ringkas dari Ainiza.
"Seronok kah?" Faridah menambah soalan.
"Mestlah best. Lagipun banyak pengajaran kepada hidup kita." Ainiza menjawab.
"Mari kita pergi ke masjid. Ada tadarus Al-Quran." Faridah mengajak Ainiza.
"Kamu pergilah dulu, saya nak habiskan novel ini. Tinggal sedikit sahaja lagi." Ainiza memberi alasan.
"Kalau begitu tidak mengapalah." Jawab Faridah sambil melangkah keluar dari biliknya untuk menuju ke masjid yang tidak jauh dari asrama perempuan.
Beberapa belas minit kemudian. Faridah berpatah balik ke biliknya kerana ada barang tertinggal. Lantaran berdiri di depan biliknya, dia pun memberi salam sambil mengetuk pintu. Namun tidak ada jawapan.
Faridah tidak mahu terus membuka pintu biliknya meskipun dia membawa kunci bilik kerana tidak mahu rakan sebiliknya terkejut dengan tindakannya yang masuk secara tiba-tiba. Lagipun, Islam tidak mengajar kita bertidak sedemikian.
Lantas, dia pun mengeluarkan kunci daripada koceknya dan membuka pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Faridah agak terkesima apabila melihat air mata Ainiza mengalir kerana kesedihan.
"Kenapa kamu menangis?" Faridah terus bertanya.
"Novel ini terlalu menyentuh jiwa." Jawab Ainiza perlahan.
"Subhanallah...ingatkan apalah tadi." Faridah menyapu dada.
"Ainiza...adakah kamu tahu, ada satu bacaan yang lebih menyentuh hati kita semua?"Faridah cuba berteka-teki.
"Apa dia?" Soal Ainiza berpatah balik.
"Al-Quran." Jawapan mudah dari Faridah.
"Bukankah kita disuruh membaca dan menghayati segala isi kandungan Al-Quran?" Tambah Faridah lagi.
Ainiza terdiam dan menunduk ke bawah tanda kekesalan.
Fikir-fikirkan
Adalah amat baik, jika pandai mengambil iktibar dari bahan bacaan seperti novel dan sebagainya. Hal ini tidak menjadi kesalahan bagi kita. Namun, jauhkan diri kita daripada terlalu taksub dengan jalan cerita yang boleh menyusahkan diri kita. Sedangkan yang terlebih utama dalam kehidupan kita adalah Al-Quran.
Seandainya kita boleh menghabiskan beratus-ratus buah novel dalam tempoh setahun, berapa kalikah kita berjaya habiskan terjemahan Al-Quran? Soalan untuk diri saya dan kita semua.
Astaghfirullahal 'azim.
No comments:
Post a Comment