Di suatu petang yang damai, sepasang suami isteri sedang berehat-rehat di ruang tamu kerana baru balik dari kerja. Mereka berdua bekerja di institusi kerajaan yang bekerja 8 jam sehari. Pada kebiasaanya mereka akan sampai ke rumah pada jam 5.45 petang.
Setelah penat hilang, si isteri bangun dan mengatakan kepada suaminya bahawa dia hendak ke dapur untuk memasak. Suaminya tersenyum dan dia sedia membantu isterinya. Si isteri yang kelihatan penat berasa sedikit kelegaan kerana mendapat bantuan oleh suaminya.
Ketika mereka berdua sibuk melakukan kerja-kerja di dapur, tiba-tiba si isteri memarahi suaminya kerana cara membersihkan ikan yang tidak betul. Maklumlah si suami yang tidak biasa melakukan kerja-kerja dapur, sudah tentu ada cacat celanya.
Biarpun dimarahi oleh isteri, si suami hanya diam tanpa membalas. Dia, kemudiannya meletakkan ikan yang dibasuh di dalam bekas yang telah disediakan setelah ditunjukkan oleh si isteri.
Kemudian, si suami bertanya lagi kepada isterinya, apakah bantuan yang perlu dilakukannya lagi. Si isteri menyuruh suaminya memotong sayur pula. Si suami pun mengambil pisau dan memotong sayur. Setelah beberapa minit memotong sayur, sekali lagi si suami dimarahi oleh isterinya kerana cara potongan sayur yang tidak sesuai. Si suami tidak berkata-kata apa dan hanya diam seribu bahasa.
Usai memotong sayur, walaupun tidak cantik. Si suami masih sabar dia tetap mahu membantu meringankan beban isterinya memasak. Dia bertanya lagi apa yang boleh dibantunya. Si isteri meminta si suami menumbuk cabai untuk dijadikan sambal belacan.
Si suami akur dan mengambil lesung batu untuk menumbuk cabai. Dia menggunakan cabai burung yang agak pedas kerana mereka memang berselera memakan sambal belacan dengan cabai burung. Baru sahaja menumbuk beberapa kali, sedikit percikan cabai terkena mata si suami. Jemarinya secara automatik menuntup matanya sendiri. Matanya begitu pedih.
Si isteri terkejut dengan kejadian itu, lantas berkata, "Kenapa abang tidak hati-hati? Inilah padahnya." Walaupun suaranya seperti memarahi suaminya, namun dia terus memapah suami untuk ke bilik air. Dia menyuruh suaminya membasuh mata dengan air.
Setelah mata kembali pulih dia pun pergi ke dapur lagi untuk membantu isterinya menyiapkan kerja-kerja memasak. Tetapi dihalang oleh isterinya. Isterinya menyuruh si suami berehat di bilik. Suaminya akur dan berjalan menuju ke bilik.
Oleh kerana kepenatan yang belum hilang menyebabkan si suami tertidur. Setelah habis kerja-kerja memasak, si isteri pun pergi ke bilik rehat suaminya. Waktu maghrib semakin hampir, dia perlu mengejutkan suaminya.
Sebelum mengejutkan suaminya dia terpandang sebuah buku nota kecil di sisi suaminya. Dia cuba membelek-belek buku tersebut untuk melihat isi kandungannya. Dia agak terkesima, kerana segala kebaikan yang dia buat terhadap suaminya tercatat dalam buku tersebut. Terpancul kekesalan dihatinya.
Lantas, dia mengejutkan suaminya dan bertanya, "Kenapa abang menulis Ayang memapah abang ke bilik air tadi? Kenapa abang tidak tulis pasal Ayang memarahi abang?"
Suaminya yang masih berkerut dahi kerana baru bangun tidur menjawab, "Abang teringat pesan Lukman Al-Hakim kepada anaknya. Kita perlu ingat kebaikan orang terhadap kita."
Fikirkan
Lukman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya, ingatlah dua perkara dan lupakan dua perkara.
- Ingat segala perbuatan baik orang terhadap kamu dan lupakan semua kebaikan kamu kepada orang.
- Ingat segala perbuatan buruk kamu kepada orang dan lupakan kejahatan orang kepada kamu.
Meskipun agak sukar untuk melaksanakan nasihat ini, namun hikmahnya terlalu besar bagi yang mampu menunaikannya.
Artikel berkaitan yang lainnya:
Belum ada komen untuk "Suka Menulis"
Post a Comment